Thursday 15 January 2015

SIAPA DALAM GAMBAR ITU; HUTAN TERTUA DUNIA (final)

Suasana dingin menyelubingi rumah bot ketika jam loceng di telefon berdering. Ahhh ... sudah menghampiri subuh rupanya. Hairan. Cuma dua jam terlena tetapi rasa bagaikan enam jam. Badan terasa amat segar. Fikiran terasa lapang. Apakah mungkin kesan-kesan ion negatif yang menebal di dalam hutan yang menyingkirkan kesan ion positif yang memberat dalam badan? Mungkin juga.

Perlahan tuala dan peralatan mandian di capai. Lampu wakaf yang dijadikan surau menyala terang. Ada beberapa orang lelaki berjubah mula berlegar di kawasan surau itu. Tidak sampai 30 saat, azan berkumandang. Merdu mendayu di subuh yang hening. Begitu indah. Terasa basah mata. Sungguh merdu. 

Air pancuran rumah bot amat menyegarkan. Dingin tersentuh kulit. Segala indera segera terjaga. Perlu bersegera ke surau. Dapat berjemaah dengan penduduk kampung sambil bertanyakan penampakan yang kelihatan awal pagi tadi. Keluar sahaja daripada bilik air, Eddie sudah berdiri di luar pintu menunggu giliran.

"Nak solat kat atas ke?'' . Pertanyaan dibalas anggukan. Mencecahkan kaki di tepi jeti di hujung rumah bot, hati mula bertanya. Ke mana perginya orang-orang kampung tadi. Memanglah solat subuh 2 rakaat tapi tak kan lah cepat macam tu hilangnya. Debaran mula terasa bila haruman pandan dan limau purut berlegar. Ahhhh ... 'MEREKA' rupanya. Mengangguk sendiri tanda faham. 
Hampir semua yang dilihar berpakaian begini - Gambar Hiasan
Usai solat subuh, tiba-tiba dihadapan mata berterbangan seekor kunang-kunang di dalam surau. Kuning hijau cahayanya. Mata mengekori pergerakan unggas ini. Tidak sangka, kunang-kunang di sini begitu besar. Sebesar dua jari orang dewasa. Sebesar belalang kunyit. Inilah keindahan ciptaan Allah. Sungguh kerdil manusia ini sebenarnya.
"Dah habis solat ke? Apa yang tengok tu?' kedengaran suara Eddie di belakang.

"Kunang-kunang". Dia memandang penuh ke hairanan. Matanya terus tepat merenung. 

"Itu belalang la," katanya sambil menunjuk ke arah bangkai belalang hijau di atas lantai surau. Kepala menggelang. Apa yang dilihat memang bukan belalang. Masakan belalang ada cahaya diekornya. Serentak dengan persoalan dalam kepala, sepantas itu seekor kunang-kunang melintas depan mata. Kepala ditelengkan.Hairan. Eddie tidak memusingkan kepalanya. Bagaikan tiada apa dihadapannya. Dalam hati mula tertanya ... apakah itu 'penghuni' hutan. 



Bulu roma mulai meremang. Sah ... itulah jawapannya! Sementara menunggu Eddie menunaikan solat, kawasan persekitaran surau dijelajahi. Memang benar ada pertempatan penghuni asal di situ. Sekali imbas, terlihat sebuah istana kayu di belakang rimbunan belukar yang meninggi. 

Gambar Hiasan - Bentuk hampir menyerupai istana kayu lama

Nyaman benar udara di sini. Segar, lembut dan damai. Begitu juga harumannya. Kemanisan bau sarsi, kesegaran limau purut dan kelembutan kenanga bercampur. Terasa ingin terus tinggal di sini. Jika begini sedikit gambaran yang diberikan, hati tertanya, beginikah indahnya haruman di syurga? sudah tentu berlipat kali ganda! Syukur Ya Allah! Syukur yang amat. 

Lewat tengahari itu, setelah melawat kawasan rumah orang asal perkampungan di sini, di samping belajar menyumpit dan menyalakan api, kumpulan kembara dibawa ke 'salt lick' - kawasan haiwan menambah mineral. 

Tiada apa yang kelihatan ketika itu, sehinggalah memasuki sempadan hutan. Seorang dayang, berkebaya putih, cantik dan tinggi, bagai menunggu rombongan. Sesekali ia menunjukkan dirinya. Ahhh ... memang cantik. Secantik Fathia. Tetapi terlalu tinggi untuk seorang wanita Melayu ... terlalu tinggi untuk mana-mana wanita sekali pun! Lebih kurang 7 kaki tingginya. 

Pelakon Amran Ismail dan juara Mr Malaysia 2005, Khairul Zaman, mejadi kepala rombongan, mengikuti ranger dengan rapat. Sesampai di sebuah jambatan batu, bau hamis hancing terhidu. Dalam hati mula berdebar. Ahhhh ... minta dijauhkanlah. 

Sang dayang semakin merapati. Seolah-olah ingin memberitahu sesuatu. Bagai terapung, ia menuruni bukit dan menghampiri. Bau hamis semakin kuat. Tiba-tiba renger menahan dan berkata,..

"Kita berhenti di sini sahaja. Kat dalam tu pun ada juga, tapi sama aje. Kita beri peluang kepada rakan-rakan yang baru sampai," katanya. Ratu cantik Malaysia, Tanuja dan kembarnya Anuja, begitu teruja melihatkan alam semulajadi ini. Jelas daripada raut muka, pasangan kembar ini amat menghormati dan menyanangi alam semulajadi. 

Tiba-tiba terdengar deraman perlahan namun jelas ke dengaran di telinga. Mata mengerling ke arah ranger. Dia mengangguk. Itu isyarat yang diperlukan. Pandangan mata terus menumpu ke arah sang dayang. Bagai mengetahui pertanyaan, ia mengangguk.

Deraman semakin kedengaran terlalu hampir dan bau hanis semakin kuat. Sesuatu harus dilakukan. 

"Jom gerak. Nanti nak pergi ke air terjun pula". Itulah alasan yang diberikan. Perlahan langkah diambil meninggalkan tempat ini sambil ditemani dayang yang terapung. 

Sang Dayang yang tinggi - Gambar Hiasan
Tiada kata dituturkan sehinggalah semuanya selamat di rumah bot. Baru pecah cerita. Memang benar Pak Belang sedang memerhati kembara ini. Bau yang menusuk deria hidu adalah baunya. Memang ia hampir. Mungkin dalam 5 - 10 meter sahaja. Tetapi, dalam minda terfikir ... benarkah Pak Belang atau sesuatu yang menyamar .. kerana mergastua liar benci akan bau manusia ... Tiada jawapan di situ ... tapi mungkin juga Haiwan sebenar .... 

MUNGKIN

Mungkin ini kedudukannya semasa memerhatio kami dari atas bukit - Gambar Hiasan


Penjelajahan ini tidak tamat disini. Banyak lagi penampakan kelihatan dan akan dikongsi dalam e-book yang bakal terbit sebulan dua dari sekarang. 

5 comments: