Saturday 30 April 2016

PENAMPAKAN BULAN  RAMADHAN


Ramai yang bertanyakan, masih adakah penampakan semasa bulan Ramadhan sedangkan syaitan dibelenggu. Ada juga yang berpendapat, hanya syaitan sahaja dibelenggu sedangkan jin tidak. Jin masih lagi bebas melakukan sesuatu seperti manusia biasa juga. Persoalannya, apakah perbezaan jin dan syaitan?

            Ada yang mengatakan bahawa jin Islam, kehidupannya seperti manusia juga. Bekerja, bertani, solat, berpuasa dan sebagainya. Di sini, saya tidak berani hendak memberi pendapat kerana saya sendiri amat cetek pengetahuan dalam bidang ini. Saya harus belajar daripada yang lebih arif  tentang perkara ini.

Tetapi, apa yang saya tahu, bukan sekali saya melihat penampakan-penampakan di dalam bulan puasa. Boleh dikatakan hampir setiap hari di penghujung minggu bulan Ramadhan, ada sahaja yang terlihat. Namun, apa yang terlihat menjadi tanda persoalan sehingga sekarang.


            Insiden pertama. 1994
Ketika itu saya masih bertugas di salah sebuah akhbar berbahasa Inggeris dan ditempatkan di bandar di-raja, Klang. Memang ketika itu, saya merasa amat gembira kerana kerap dapat berbuka puasa di rumah keluarga di Klang walaupun adakalanya diberi tugasan luar.

            Pernah sekali, wartawan-wartawan daripada pelbagai media, yang berada di biro Klang, dijemput untuk berbuka puasa di atas bot peronda polis marin. Sepanjang hayat menjadi wartawan, inilah pertama kali saya berbuka puasa di tengah lautan dan merasakan sendiri pengalaman mereka bersiap siaga menjaga keamanan negara.

            Seawal pukul 4.00 petang, kami telah berada di pelantar jeti Pelabuhan Klang untuk menunggu sebuah bot yang bakal membawa kami ke tengah laut. Perjalanan hampir dua jam memang menakjubkan. Inilah pertama kali saya melihat horizon yang beralun warna merah, jingga, kuning dan biru bercampur. Sukar dibayangkan dan amat menakjubkan.

            Sepuluh minit lagi masuk waktu berbuka puasa. Air laut mula berombak dan menggoyangkan bot. Terasa sedikit mabuk ketika ini. Setelah mengambil whudu dan duduk di meja hidangan, azan mula berkumandang. Sesuatu yang ajaib berlaku.

            Laut yang berombak, berhenti mengocakkan anak-anak kapal dalam bot polis. Malahan begitu tetap kedudukannya bagaikan di atas darat. Angin senja yang bertiup membelai setiap wajah di sini.

            Selepas menjamah tamar, kueh dan air, kami bersiap sedia untuk menunaikan solat di atas dek. Sekali lagi keajaiban berlaku. Walaupun laut kelihatan seakan berombak,  tetapi keadaan kami di dalam bot amat stabil. Terlihat di mata saya sekumpulan lelaki separuh umur berpakaian jubah putih telah pun berada di hujung atau saf yang paling belakang.

            Sejuk ... itu yang boleh saya kata semasa bersalam dengan mereka ini. Setelah penuh dek, kami pun memulakan solat maghrib. Setelah salam diberikan, saya segera mencari kumpulan berjubah putih itu kerana ingin menemu ramah mereka. Hairan juga mereka telah hilang daripada pandangan mata kasar.

            Sewaktu makan malam, saya bertanya kepada salah seorang pegawai di situ tentang kumpulan lelaki yang saya nampak tadi. Sama ada mereka ditugaskan untuk menentukan kelancaran majlis ini atau mungkin kakitangan awam yang diserapkan, untuk membantu memasak juadah untuk berbuka puasa.

            Jawapan yang diterima memang mengejutkan. Katanya tiada siapa yang dilihat berjubah putih kecuali imam dan bilal, semertara yang lain mengenakan seragam polis. Malahan kakitangan yang di dapur memakai seragam mereka sendiri.

            Persoalannya, siapakah kumpulan lelaki berjubah putih itu tadi? Daripada mana mereka menaiki bot tadi dan untuk sampai ke bot ini, memerlukan kenderaan air lain. Saya tidak mendengar air berkocak pun!

            Selepas solat Isyak dan disusuli dengan tarawikh lapan rakaat dan witir, kami dijamu lagi dengan moreh sebelum dihantar pulang dengan sebuah bot yang lebih kecil. Kebetulan pula dengan bulan mengambang ketika itu, pantulan bayang di laut nampak amat cantik.

            Tatkala menuruni tangga bot, untuk berpindah ke bot asal kami, sekali imbas terlihat lelaki separuh umur tadi sedang melambai ke arah saya. Saya mengangguk kerana mengetahui siapakah lelaki tadi. Yang sahihnya bukan seorang manusia. YA ... masih ramai lagi makhluk lain yang beribadat kepada Allah.


Insiden kedua
1997 – Balik Kampung – Kuala Terengganu

Kalau diikutkan, saya memang tidak gemar memandu terutama sekali ke kawasan-kawasan yang berdekatan. Namun bila arwah ayah mertua saya mengajak kami sekeluarga pulang ke kampungnya di Kampung Ladang, Kuala Terengganu, saya menerima dengan hati yang terbuka.

            Kalau berjalan jauh, saya gemar untuk bergerak di awal pagi, kalau boleh sebaik sahaja solat subuh. Ini kerana saya lebih cergas dan lebih awas berbanding waktu tengahari. Setelah semua barangan dimasukkan ke dalam kereta, lebih kurang pukul 7.00 pagi kami meninggalkan kota mertopolitan dan menuju ke arah Gombak dan seterusnya pantai timur.

            Tidak seperti lebuhraya utara selatan, jalan yang hendak ke pantai timur dibina cantik sehingga ke sempadan Pahang-Terengganu ketika itu. Bagi menerukan perjalan ke Batu Burok, Kuala Terengganu, kami terpaksa memasuki beberapa kawasan perkampungan.

            Tengahari itu, semasa menyusuri sebuah perkampungan, mata saya tercari-cari papantanda yang menunjukkan arah surau atau masjid. Pertama, untuk solat zuhur, kedua untuk berehat seketika dan ketiga untuk membersihkan pundi-pundi. Sedang saya mencari papantanda itu, terlihat di kiri jalan, seorang lelaki separuh umur sedang mengayuh basikal. Daripada caranya berpakaian, saya mengagak dia hendak menuju arah masjid.

            Tetapi hairan juga, sebab Zuhur telah pun masuk waktu beberapa minit yang lalu. Pak cik ini telah 10 minit lewat. Papantanda menunjukkan ada sebuah masjid 2km daripada tempat kami berada sekarang.

            “Kasihan pak cik ini. Walaupun panas dia sanggup berkayuh untuk ke masjid untuk solat,” kata saya sambil mengaguminya yang begitu gigih berkayuh walaupun jaraknya masih jauh. Ayah mertua saya memadang ke arah saya dengan pelik.

            “Orang tua mana?” tanyanya. Saya menunjukkan kepadanya lelaki tua yang baharu sahaja kami potong itu. Dia menggelangkan kepala. Saya tidak faham dengan maksud ayah mertua saya itu.

            Terlihat sahaja papantanda  besar masjid di kanan, saya segera memberikan isyarat ke kanan dan memasuki perkarangan masjid. Dan sesuatu yang hampir tidak masuk akal terlihat dihadapan mata. Pak cik yang berbasikal tadi sampai lebih awal daripada saya! Memang terkejut. Hilang terus rasa hendak membuang air besar. Sedangkan ahli keluarga yang lain terus berjalan ke arah tandas untuk melepaskan hajat.

            Dia menongkatkan basikalnya dan terus menuju ke arah tempat berwhudu. Setelah mengunci kereta, saya terus berlari ke arah tempat mengambil whudu. Saya melihat pak cik tersebut telah hilang. Yang saya ingat, bauan di tempat mengambil whudu ini amat harum. Bauan pandan, melur dan kenanga. Amat menenangkan jiwa.

            Saya cuba melihat kesan basah tapak kaki pak cik itu untuk mengekorinya tetapi hilang sekerat jalan, Kesannya hilang dianjung masjid. Cepat-cepat saya mengambil whudu dan terus masuk ke dalam dewan besar masjid.

            Ingin saya berimamkan pak cik itu tetapi memandangkan status saya sebagai musafir dan tidak yakin dia sedang solat Zuhur atau solat sunat, saya mengambil keputusan untuk melakukan seorang diri.
           
Selesai solat, saya melihat sekeliling masjid. Saya melihat bapa mertua masih lagi bersolat. Suasana damai dan dingin menyelubungi dalam masjid ini. Mungkin seni bina yang digunakan adalah senibina orang Melayu, yang sentiasa mengharmonikan unsur-unsur alam dan mengambilkira cuaca yang panas, mengakibatkan suasana masjid ini begitu nyaman ... atau mungkin ada sebab lain.

Pandangan mata tertumpu ke arah pak cik yang sedang menadah tangan, berdoa. Sebaik sahaja dia berdiri dan bergerak ke arah pintu, segera saya bergerak ke arahnya. Saya menghulurkan tangan dan bersalaman. Hangat. Nyata manusia.


Ingin saya bertanya kepadanya, bagaimana dia boleh berada di situ dengan pantas, tetapi lidah saya kelu untuk berkata. Saya hanya memandang ke arahnya. Lelaki separuh umur ini hanya tersenyum ke arah saya dan berlalu. --- Bersambung 

sila isikan borang dibawah untuk mendapatkan perkembangan terbaharu 








 

2 comments:

  1. Sambungannya bila ada ya serius baca novel ni mmg power..boleh dpt bayangkan seoleh2x berada dtempat trsebut...

    ReplyDelete
  2. Mungkin Wali Allah kot yg bersembahyang kat masjid tu....org mcm ni selalunya ada ilmu lipat bumi....

    ReplyDelete