Sunday, 4 January 2015

Penampakan Di Semeru




Balik ke Klang semalam, terus buka IndoPek. Ahhhh ... si gendut yang lucu, Igor Syaikoji ada kat tv. Danny Sumargo pun ada gak. Sebelum tu tengok Di Bawah lindungan Kaabah, Herjunot Ali jadi Hamid. Sebelum tu tonton vcd Ayat-ayat Cinta, Fedi Nuril jadi Hero. Selingan pulak iklan syampu Raline Shah. Hmmmmm ... Semua pelakon 5 cm. Tetiba jadi rindu kat SEMERU dan penampakan kat sana.

5cm - antara cerita perngembaraan yang BEST.
Siapa kata tak ada pendaki yang cantik - tengok Raline Shah 


Tapi tak le nak cerita pasal 5cm kat sini, walaupun antara filem kegemaran. Sama seperti geng2 5cm, setiap pendaki perlu melalui ranu pane, dan perkampungan di situ dannnnn .... di perkampungan itulah, pada malam pertama, selepas makan, bertemu dengan seorang tua dan memberi peringatan pasal jalur pendakian Semeru atau Mahameru.

"Kalau mendengar gamelan, biarin saja ya mas," tegur seorang tua. Angguk aje le tanpa mengendahkan kata-kata lelaki tua tu. Masa berborak  dengan Haida dan Fahmi - yang nak cari patches Semeru dan Bromo. Rasanya tak sampai 30 saat, pusing balik kepala nak tahu cerita daripada lelaki tua tadi, terus hilang daripada pandangan. Hmmm ... siapa tu? Salam perkenalan ke tu? Serta merta bulu roma mula meremang. Manusia atau siapa? 

Pagi esoknya, masa melintasi suatu perkampungan, terlihat orang tua malam tadi berdiri di belakang pagar. Dia dengan saudaranya, menggangguk-angguk aje. Sebaik sahaja melambai, ada rakan tegur ...

"Kau lambai siapa tu?" tanyanya. Lantas jari telunjuk menunjuk ke arah pagar buluh. Berderau sekejap. HILANG! Lelaki tua dah tak ada kat pagar tu. Aduhaiiii ... memang betullah, jangkaan malam tadi. Bukan manusia tu, ITU BUKAN MANUSIA! Geleng kepala kejap. Berdebar-debar rasa dada. Rasa malas nak mendaki pun ada. Tapi bila memikirkan bila lagi masauntk menawan Semeru, digagahkan juga hati.

Jalur pendakian Semeru memang berbeza dengan denai di Malaysia. Ada beberapa peringkat pendakian yang berlainan pandangannya. Kejap macam kat perkampungan Hobbit, kejap dalam kebun bunga yang beranika warna, kejap lagi kat tanah savana yang berumput tinggi dan kejap lagi kat hutan tinggal yang seram dannnnn ... lelaki tua itu tetap terus mengekori!

Selepas lepak sekejap di Ranu Kumbolo, Kalimati pula menjadi tempat berehat malam itu sebelum mendaki melalui Arcopodo ke Puncak! 
kalimati

Sejuk gila malam di sini. Dan sesekali kedengaran bunyi gamelan perlahan-lahan dibawa bayu malam. Semakin lama semakin kuat. Bau setanggi mula melingkari tapak perkhemahan. Bulu roma tegak berdiri. Kepala dikeluarkan daripada dalam khemah melihat keluar. Tiada apa yang kelihatan. Pundi-pundi kencing terasa penuh. 

Dengan bertemankan Wan Kamarul, kaki melangkah keluiar ke arah tempat yang dikhaskan untuk pembuangan sisa cecair atau pepejal. Terasa kehangatan melangkah ke arah tempat guide (bukan guider ye), dengan unggun api yang marak menyala. Tubuh-tubuh mereka kelihatan begitu releks, didakap kehangatan api yang menjulang. 

Selesai melepas hajat, dan semasa berjalan balik ke khemah sekali lagi kejutan diterima, Bukan setakat lelaki tua tadi, malahan ada bayangan hitam disebalik sebatang pokok. Bukan itu sahaja, bayangan seorang budak lelaki,lengkap berpakaian pendakian juga terlihat. Gamelan semakin kuat kedengaran.

Mulut mula membaca surah-surah yang dihafal. Tiba-tiba kedengaran di telinga "Hati-hati dengan Orang Merah". Sekali lagi kepala berkalih. Tiada siapa kecuali WanKamarul yang menapak memasuki khemah dan mengikut rapat dibelakangnya, remaja berbaju kembara! Dalam pancaran cahaya lampu suluh (head lamp) sekali imbas, kelihatan wajahnya yang suram dan tampak sedih, Entah mengapa sebak menerpa ke dalam dada. 

Masuk ke dalam khemah, minda terus terkenang kepada remaja tadi. Mungkinkah dia perlukan pertolongan? Dalam kedinginan, mata terus terlena. Tepat tengah malam, digerakkan daripada lena untuk pendakian terakhir menerusi Arcopodo, jalur paling bahaya dan paling menyeksa. Lima belas tapak mendaki, 30 tapak mengundur. Pasir hitamnya terlalu peroi. Memang Penat. 

5 tapak ke atas, 15 tapak melorot
Di antara jurang-jurang yang dalam di kiri dan kanan, kelihatan bagai bayang-bayang hitam menjenguk keluar, bagai memerhati siapakah pendaki yang ingin menakluki gunung tertinggi Pulau Jawa ini. 

Kadang kala kelihatan mereka berada di hadapan rakan-rakan pendaki yang lain dan ada masanya berjalan sekali dengan para pendaki. Dalam hati terus tertanya, siapakah mereka ini. Bulu roma tidaklah meremang seperti biasa. Di dalam hati dapat merasakan bahawa penampakan ini tidak bahaya. . 

Menuruni Arcopodo merupakan pengalaman paling best sepanjang pendakian. Yang perlu hanya meletakkan tumit ke dalam pasir yang peroi, dan biarkan badan melorot mengikuti tarikan graviti. Macam main ski pulak! Setiba di papan tanda Arcopodo di sebatang pokok, remaja tadi tetap kelihatan. Cuba berhubung dengannya cara perhubungan minda ... GAGAL. Dengan matanya yang sayu, dapat difahami yang remaja ini kesunyian yang amat sangat. 

Namun, kembara perlu berada di Ranu Kumbolo sebelum gelap. Walaupun kasihan, namun perjalanan perlu diteruskan. Sebaik sahaja menjamah makan tengahari, kaki mula melangkah turun. Ahhhh ,,, masih lagi lelaki tua itu mengekori dari kejauhan, Bagaikan seorang datuk sedang menjaga cucunya, ia memerhati pergerakan kembara.

Malam di Ranu Kumbolo, begitu damai dan hening. Sayup-sayup kedengaran azan Maghrib dialunkan oleh rakan sependakian. Sejadah dibentang. Ketika solat, kedengaran begitu ramai suara mengaminkan bacaan Al-Fatihah. Adakah penghuni gunung yang beragama Islam turut bersolat? Tiada jawapan di situ.

Langit berbintang sejuta Ranu Kumbolo
Sepanjang perjalanan ke Ranu Pane keesokan harinya, dalam kepala terus terfikir yang penjalanan pengembaraan ini perlu dibukukan dan dijadikan sebuah cerita, yang diilhamkan daripada penampakan di sini. 

Seminggu lagi, insya Allah akan lahirlah SEMERU 31.8 - Pengembaran, Pendakian, PENAMPAKAN dalam bentuk e-book. 

DIILHAMKAN DARIPADA PENDAKIAN SEMERU 

Dan siapakah orang tua itu ---- Perlu membaca SEMERU 31.8 untuk jawapannya. 

2 comments: