Thursday 1 January 2015

Pandangan Subuh

KRINGGGGGGGGGGGG .... bunyi jam loceng berdengung di telinga. Tangan meraba menekan butang snooze. "Lima minit lagi. Lima minit lagi." Itu kata hati. Kata mata ... lenalah semula. 

KRINGGGGGGGGGGGGG ..... Ok ... masa untuk terus bangun daripada terus hanyut. Tiada kata yang indah selain daripada Syukur Alhamdulillah setiap kali terjaga daripada 'mati sementara'. Kedinginan subuh menyerbu setiap kali pintu rumah terbuka. kabus yang menyeliputi dan membalikkan kuning cahaya lampu jalan membangkitkan keindahan yang amat misterius. Kenangan kembali ke zaman remaja yang serba mudah, indah dan penuh misteri.

Sekadar Gambar Hiasan


Teringat kenangan lebih 20 tahun dahulu semasa bergelar penuntut di Institut Teknologi MARA. Terbuka sahaja mata, perkara pertama yang dilakukan ialah mencapai tuala, sabun dan berus gigi. Dengan mata yang separuh terbuka, tangan terus meraba menuju ke arah bilik air. Walau sejuk tetap digagahi juga.

BRUUU BRUUU BRUUUU ... air dicedok dan dicurah. SEGAR walaupun kedinginan menggigit ke tulang. Selepas selesai menunaikan tanggung jawab, langsir bilik di selak. Sinaran lampu kuning yang membias dalam dakapan kabus, kelihatan bagai pandangan sebuah cerita thriller. Seram, penuh debaran tetapi cantik. 

Radio dibuka perlahan dan tiba-tiba ... WUSHHHHHHH.... langsir berkibar mengenai muka. Angin dingin subuh tiba-tiba bertukar menjadi ribut ... tapi cuma seketika. Pandangan dilempar keluar. Barisan motorsikal bersusun mengadap tingkap tingkat 2 asrama. 

Wushhhhh .... lagi sekali langsir menampar muka. Bauan kapur barus dan daging mereput mulai menguasai deria, Kalah bau bangkai. Malah bangkai tikus pun tidak sebusuk ini. Kembang rasa tekak. Rasa nak muntah. Kepala mula berdenyut. 

Sekilas pandang, sehelai kain putih melintasi hadapan tingkap yang terbuka. Melangkah kebelakang ... hati tertanya ... apakah itu? Mungkinkah mata berilusi awal-awal pagi ini? Tangan mula menggelatar. Bulu roma mulai meremang. Dada mula berdebar kencang. 

Mata melingas ke arah tiga rakan sebilik, yang masih lena diulit dingin pagi. Hendak digerak, takut mengganggu. Tidak digerak, rasa seram semakin terasa. Perlahan diri merapati tingkap. Mahu cepat-cepat menutup tingkap, Tidak mahu melihat apa yang mungkin terlihat.

Setapak demi setapak merapati tingkap yang terbuka, sedang mata terus tertancap ke arah motorsikal yang tersusun. 

Ahhhh ... Kalau sudah nama manusia, mesti hendak tahu apa yang tidak diketahui terutama sekali benda dihadapan mata. Semakin dirapati, semakin seram pula rasanya. Jari dihulur ke arah langsir yang berkibar-kibar lembut.

Hujung langsir disentuh. Dengan debaran yang semakin menggila, langsir terus diselak. Nyata apa yang disangka tidak berlaku. Tiada apa kelihatan di taingkap yang terbuka TETAPI sesosok lembaga berjubah putih sedang berdiri di atas salah sebuah motorsikal.

Jubah yang dipakai berkibar ditiup angin. Rambut yang panjang dibiar mengerbang. Walau matanya tidak kelihatan, namun terasa bagaikan ada yang memanah terus ke dalam mata dan terus menusuk ke hati. 

IIIIIIIIIIIIIIIiiiiiiiiiiiii hihihihihiihihhi ..... ilaiannya terdengar dan bagai anak panah dilepas daripada busur, ia melonjak ke atas dan terus menghilang. Debaran di dada terus terasa, Terus terduduk atas katil sambil termenung. APA BENDA TU? Kepala yang tidak gatal terus digaru. 

Nasib baik, pagi itu pagi Sabtu dan tiada kelas. Hanya terus melamun sehingga matahari menjenguk dan rakan-rakan mengajak bersarapan. Hmmmmm ... Hanya salah satu daripada ratusan Subuh di ITM tahun akhir 80-an. 

Diilhamkan daripada Penampakan Sebenar


Dapatkan DAMPING DI -

11 comments: